Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, August 10, 2011

Orang ikhlas Selalu Tertindas?

Salam pagi Rabu. Hari ini, bekerja dengan lapang. Tiada kelas. Tiada tugas bukan hakiki yang perlu dilakukan. Cuma perlu menghabiskan marking kertas kuiz. Sambil marking, seperti biasa, saya suka membuat kerja sampingan, membaca email. Hari ini, saya dapat satu email yang saya kira menarik untuk dikongsi. Kenapa menarik? Kerana bila selesai membaca, saya rasa ia sangat berkait rapat dengan  kehidupan yang saya jalani sekarang. Membuatkan saya terus terfikir dan sedar,ada perkara yang selama ini kita tak pernah terfikirkan. Mungkin anda juga akan megalami selepas membaca nya. (Tak tahu kenapa ayat terlalu skema pagi ini, mungkin sedang mengambil mood menulis rencana untuk majalah..sampai dalam belog sendiri pun dah menaip umpama rencana..kiki). Mari sama-sama kita renungkan, kisahnya begini:


Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini...” kata seorang kakak berterus-terang. Nadanya seperti kesal, kecewa dan berputus asa.

“Mengapa?” balas saya.

“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.” jawab kakak tersebut.

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”

“Oh ramai encik…” jawab kakak itu ringkas tetapi tidak memberikan jumlahnya.

“Bagaimana dengan anak-anak kakak?” tanyaku.

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya satu persatu bermula daripada yang pertama hingga yang bongsu.. Semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.

“Kakak, boleh saya bertanya?”

“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”

Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?” tanyaku lagi.

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya ulangku dalam hati menyetujui kata kakak itu.

“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.

“Maksud encik?”

...bersambung...(wah, gitu..)

No comments:

Post a Comment