Wednesday, August 10, 2011

Orang ikhlas Selalu tertindas? -- Part 2.

Sebelum tu, baca yang ini dulu.. Ok, ini sambungannya..

“AlLah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, AlLah berikan kepada kakak anak-anak yang cerdas menjadi.” kataku.

“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“AlLah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatulLah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.” kataku penuh semangat

“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”

“Maksud kakak?” tanya saya menguji kefahaman kakak itu.

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi AlLah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan AlLah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?” tanya kakak tadi dan nampaknya dia sudah semakin jelas.

“Itulah yang saya katakan tadi, takdir AlLah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.

“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…” saya terus menyambung..

“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?” tanya saya.

Kakak itu tersenyum dan berkata, “Tentu tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”

“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’ tanya saya.

“Pasti ada! Insya-AlLah.” jawab kakak itu dengan penuh yakin.

“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi AlLahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi AlLah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

“SubhanalLah!” kakak itu beristigfar.

“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”

Saya suka cerita tentang kereta di atas. Sangat signifikan kan? Renung-renungkan dan selamat berbuka! Oh ya, esok abah balik dari umrah. Tetapi saya tak dapat nak jemput beliau di airport. Mujur hubby boleh ambil cuti. Comel rasanya bila mengenang hubby dan abah. Hihi.. Bestnya kalau saya boleh join. :( Ok lah, tata.

Orang ikhlas Selalu Tertindas?

Salam pagi Rabu. Hari ini, bekerja dengan lapang. Tiada kelas. Tiada tugas bukan hakiki yang perlu dilakukan. Cuma perlu menghabiskan marking kertas kuiz. Sambil marking, seperti biasa, saya suka membuat kerja sampingan, membaca email. Hari ini, saya dapat satu email yang saya kira menarik untuk dikongsi. Kenapa menarik? Kerana bila selesai membaca, saya rasa ia sangat berkait rapat dengan  kehidupan yang saya jalani sekarang. Membuatkan saya terus terfikir dan sedar,ada perkara yang selama ini kita tak pernah terfikirkan. Mungkin anda juga akan megalami selepas membaca nya. (Tak tahu kenapa ayat terlalu skema pagi ini, mungkin sedang mengambil mood menulis rencana untuk majalah..sampai dalam belog sendiri pun dah menaip umpama rencana..kiki). Mari sama-sama kita renungkan, kisahnya begini:


Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini...” kata seorang kakak berterus-terang. Nadanya seperti kesal, kecewa dan berputus asa.

“Mengapa?” balas saya.

“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.” jawab kakak tersebut.

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”

“Oh ramai encik…” jawab kakak itu ringkas tetapi tidak memberikan jumlahnya.

“Bagaimana dengan anak-anak kakak?” tanyaku.

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya satu persatu bermula daripada yang pertama hingga yang bongsu.. Semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.

“Kakak, boleh saya bertanya?”

“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”

Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?” tanyaku lagi.

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya ulangku dalam hati menyetujui kata kakak itu.

“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.

“Maksud encik?”

...bersambung...(wah, gitu..)